Nuffnang Ads

Isnin, 14 Februari 2011

Masalah Yang Mungkin dihadapi Selepas Bersalin Part 2


Terkencing tanpa kawalan


Kehamilan dan kelahiran menyebabkan tisu sekitar faraj dan sekeliling pangkal pundi kencing tegang secara keterlaluan dan luka. Ia juga boleh menyebabkan kerosakan pada saraf dipersekitarannya menyebabkan kawalan kencing terganggu dan anda akan mudah terkencing apabila batuk, bersin atau ketawa. Tapi anda bernasib baik kerana keadaan ini terjadi untuk sementara waktu sahaja dan anda selalunya pulih sepenuhnya selepas 3 bulan. Amalkan senaman kegel kerana ia mempercepatkan proses pemulihan dan pakai pad wanita sekiranya perlu.


Buasir


Sekiranya anda merasa sesuatu keluar dari dubur dan sakit setiap kali buang air besar, anda mungkin mengalami buasir. Buasir terjadi akibat tekanan yang tinggi semasa meneran yang menyebabkan salur darah sekitar dubur menjadi kembang. Untuk  megurangkan rasa tidak selesa, puan disarankan menggunakan pad berais, diletak pada bahagian dubur. Sekiranya sakit keterlaluan atau buasir menjadi semakin bengkak, anda disarankan berjumpa doktor. Terdapat ubat yang selamat dan boleh dimakan walaupun anda benyusu badan. Untuk mengurangkan risiko buasir, amalkan memakan makanan berfiber tinggi dan minum air secukupnya. Pastikan anda sentiasa aktif semasa hamil dan sekiranya najis keras, anda boleh meminta preskripsi doktor untuk ubat lembutkan najis.


Sembelit

Sembelit kerap terjadi mungkin kerana takut luka episiotomi terbuka semasa membuang air besar atau sebab sakit kerana buasir yang bengkak. Untuk mengelakan dari najis menjadi keras, amalkan memakan sayuran dan makanan berfiber tinggi semasa pantang, dan minum sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Jangan dengar tentang mitos orang tua pasal minum air segelas sehari dan tentang sayur sejuk sayur panas dan sebagainya. Dehidrasi dari kekurangan air sebab terlalu berpantang menyebabkan luka anda lambat baik dan air susu menjadi kurang. Sekiranya anda masih lagi sembelit selepas tip diatas, Jumpa saja doktor untuk  laksatif yang sesuai semasa pantang.


Sakit Buah dada

Selepas beberapa hari bersalin, buah dada akan dipenuhi susu dengan banyaknya dan payudara anda akan mula merasa sakit, berat dan bengkak. Rasa tidak selesa pada buah dada selalunya berakhir sebaik sahaja bayi anda mula pandai mengisap susu. Sekiranya masih bengkak, cuba perah mengunakan ‘breast pump’ yang sesuai. Anda juga boleh meletakan tuala sejuk atau suam pada buah dada untuk mengurangkan bengkak. Ubat penahan sakit seperti panadol dan ponstan adalah selamat dan boleh dimakan walaupun anda menyusu.  Bagi mereka yang mengalami susu yang keluar terlalu banyak sampai meleleh, jangan tension pula, anggap itu satu kelebihan dan cuba gunakan pad payudara. Bila malam, cuba letakkan tuala pada buah dada untuk serapan yang lebih optimal.


Rambut gugur

Semasa hamil, kadar keguguran rambut menjadi kurang disebabkan rembesan hormon dari uri yang menghalang keguguran rambut. Sesetengah wanita pula mungkin mendapati rambut tumbuh lebih lebat dari biasa. Walaubagaimanapun selepas bersalin rambut anda akan luruh 2 kali ganda lebih kerap dari biasa disebabkan rambut yang tumbuh berlebihan tadi. Ini mungkin menyebabkan anda sedikit bimbang  kerana takut ia mungkin disebabkan pemakanan atau sebagainya. Tapi anda jangan risau, dalam masa 6 bulan, rambut anda akan gugur dengan kadar biasa. Sementara itu, makan makanan berzat dan elak dari mengering dan mewarnakan rambut secara keterlaluan.


Perubahan warna kulit

Anda mungkin perasan terdapat bintik bintik merah pada kulit muka dan leher sebaik sahaja melahirkan, jangan bimbang kerana ia sebenarnya disebabkan oleh saluran darah kecil yang pecah semasa proses meneran. Bintik ini akan hilang selepas 1 minggu. Kesan tegangan pada perut walaubagaimanapun tidak akan hilang dengan senang. Ia akan berubah dari berwarna hitam kepada warna putih cuma selepas beberapa bulan. Perubahan kulit lain seperti jaluran hitam ditengah perut akan hilang sepenuhnya secara beransur ansur.


Perubahan emosi

Selain dari perubahan fizikal, ibu juga kerap mengalami ganguan emosi seperti ‘mood swing’, dilanda kesedihan tak menentu, dan risau berpanjangan. Ada juga yang mengalami masalah kemurungan atau dipanggil ‘baby blues’. Ia selalunya berakhir selepas 10 hari dan dalam masa tersebut, cuba dapatkan tidur secukupnya dan mintalah pertolongan dan nasihat  dari saudara-mara atau ibu jika perlu. Sekiranya  anda merasa kemurungan semakin teruk seperti rasa tiada harapan, berjumpalah dengan doktor.


Perut buncit dan berangin

Sebaik sahaja melahirkan, fizikal anda akan masih kelihatan bulat, tidak ramping dan ‘flabby’. Sesetengah masih kelihatan masih seperti orang hamil disebab disebabkan usus yang mengandungi angin berlebihan. Jangan risau. Keadaan ini hanya sementara kerana semua cecair badan dan lebihan lemak yang anda kumpul semasa hamil akan hilang perlahan-lahan. Selepas beberapa minggu, anda sudahpun 60-80% hampir kepada bentuk asal anda seperti sebelum hamil. Sekiranya anda menyusu badan secara eklusif, berat anda akan lebih berkurangan dengan kadar yang lebih cepat. Ia memang berkesan ke atas saya. Berterima kasihlah kepada bayi anda.


Pemeriksaan selepas pantang

Selepas 6 minggu, doktor anda akan memeriksa keadaan faraj dan rahim untuk pastikan sistem peranakan anda pulih 100%. Ujian Pap Smear dan US mungkin akan dibuat. Ambil peluang ini untuk bertanya tentang kaedah perancang keluarga, sebarang isu tentang penyusuan dan bayi atau apa jua masalah yang menganggu fikiran anda. Biasanya selepas 6 minggu anda sudahpun sihat sepenuhnya dan dapat menyesuaikan diri sebagai seorang ibu dalam menjalani kehidupan baru.

Harus diingatkan bahawa masalah yang dihadapi selepas bersalin adalah berbeza bagi setiap ibu. Janganlah anda berasa takut untuk melahirkan anak kerana ia adalah anugerah yang tidak terhingga kepada kita. Percayalah walau sakit macam mana sekalipun, kesakitan itu akan hilang sebaik menatap wajah si comel anda. Sekian sahaja dari saya.

Tiada ulasan:

Anda Mesti Suka

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang Ads