Umumnya aktiviti harian yang dilakukan walaupun sudah menjadi perkara biasa boleh mendatangkan kesan kepada kesihatan fizikal dan juga emosi. Tempoh kehamilan, melahirkan anak dan peningkatan berat badan adalah perkara biasa yang dilalui dalam kehidupan tetapi boleh memberi kesan kepada otot-otot pelvis. Otot-otot ini berperanan secara terus dalam memastikan organ-organ pelvis seperti uretra, vagina dan rektum berada di tempat yang betul. Sekiranya otot-otot ini lemah, ia gagal mengawal kedudukan organ-organ pelvis dan seterusnya berlakulah masalah kelendutan.
Dikalangan wanita yang sudah berusia, masalah ini dikenali sebagai 'prolapse pelvic'. Ia berlaku apabila struktur otot yang bertanggungjawab mengawal kedudukan organ-organ pelvis dan seterusnya menjadi lemah atau merenggang berlebihan.
Antara perkara-perkara yang boleh menyebabkan berlakunya 'prolapse pelvic' adalah:
- hamil dan melahirkan anak
- menopaus dan penuaan
- mengangkat objek berat
- obesiti
- batuk yang kronik
- pembedahan (terutama pembedahan pelvis)
- sembelit
- aktiviti/senaman fizikal yang mengundang stress
Biasanya seseorang wanita itu akan mengalami gejala-gejala seperti berasa hendak jatuh, sembelit, kesukaran atau rasa sakit semasa melakukan hubungan intim, jangkitan pada pundi kencing, pengeluaran cecair berlebihan daripada vagina, sakit pada bahagian bawah belakang badan dan kegagalan mengawal pundi kencing.
Rawatan yang boleh diamalkan adalah seperti;
- senaman kegel
- latihan otot pelvis
- 'vaginal pessary'
- terapi hormon gantian(HRT)
- pembedahan.